04 September 2011

Produk Muslim : Semakin Hilang Serinya?

Suatu Ketika Dahulu


"Alhamdulillah. Mujurlah ada kedai yang menjual produk halal buatan 100% muslim ni di sini. Jarang nak dapat ni," kata seorang pakcik tua semasa kami berbual di kaunter KOHALAL Medan Gopeng, Perak. Aku dan temanku, pekerja kedai itu tersenyum.


"Alhamdulillah. Ya, pakcik. Kita sampai peringkat wajib dah mengutamakan produk-produk muslim ini sementelah inilah salah satu kaedah yang paling berkesan bagi membantu memantapkan ekonomi umat Islam di Malaysia kita ni," tambahku.


Temanku lantas menambah, "InsyaAllah pakcik, kalau begitu lain kali datanglah lagi ye,". Katanya tersengih-sengih.


"InsyaAllah," balas pakcik tadi tersenyum. Di sebelahnya mungkin isterinya dan dibawa juga anaknya yang dipanggil "Boy" itu.


Ya. Aku rasa sudah terlalu lama aku menyuarakan perkara ini kepada khalayak media baru (blog, facebook), namun aku rasa tidaklah banyak perubahan yang berlaku dalam masyarakat kita kecuali terdapat tanda-tanda kemerosotan pencapaian korporat dalam kalangan industri produk muslim ini.






Perubahan Dalam Hidup

Semenjak aku mengenali Tuan Haji Yunus, Akh Rorul Azhar, dan Akh Amal dari KOHALAL Medan Gopeng lima tahun yang lalu, pemikiran aku tentang produk muslim berubah sama sekali. Dahulu aku tidak mampu menghubungkaitkan antara sokongan terhadap produk muslim dengan amalan seharian aku. 

“Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara” (Surah al-Hujurat ayat 10)

“Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain”. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Bandingan golongan mukminin di dalam kasih-sayang, simpati dan tolong menolong antara satu sama lain seperti satu jasad. Sekiranya satu anggota mengadu kesakitan, maka seluruh anggota akan berjaga malam dan demam panas” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Al-Syeikh Mustafa Khin di dalam Nuzhah al-Muttaqin ketika menghuraikan hadith “Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain” di atas, menyebut: Bandingan yang dibuat dalam hadith ini bertujuan menggalakkan bantu membantu dan tolong menolong sesama mukmin. Ini adalah perkara yang mesti dilakukan, kerana pembinaan umat tidak akan sempurna dan berhasil kecuali sebahagian umat membantu dan menguatkan sebahagian yang lain. Seorang mukmin tidak dapat bersendiri dalam urusan dunia dan agamanya, ianya semesti memerlukan pertolongan dan bantuan saudaranya yang mukmin. Jika tidak, dia akan gagal menunaikan tanggungjawabnya dan akan cacatlah peraturan dunia dan akhiratnya serta akan termasuk dalam golongan yang binasa (Mustafa al-Khin, Nuzhah al-Muttaqin, jld 1, m.s. 199,cetakan: Muassasah al-Risalah, Beirut).

“Seorang muslim itu saudara muslim yang lain. Dia tidak akan mengkhianatinya, mendustainya dan menghinanya. Setiap muslim haram (mencemar) maruah, harta dan darah muslim yang lain. Taqwa itu di sini (hati). Cukuplah untuk dianggap seseorang melakukan kejahatan dengan dia menghina saudara muslimnya. (Riwayat al-Tirmizi, kata hadith ini hasan. Kata al-Sakhawi: Ianya hasan sahih).

Ibn `Allan (meninggal 1057H) ketika menghuraikan maksud “tidak mengkhianatinya”, berkata: “mengkhianatinya ialah mengurangkan haknya yang mesti ditunaikan iaitu tolong menolong dan bantu membantu” (Ibn `Allan, Dalil al-Falihin, jld. 1, m.s. 17, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).

Semua nas-nas yang dikemukakan di atas merupakan dalil kewajipan menyokong produk muslim yang wajib umat Islam imani, tanpa keraguan andai tiada perkara yang menghalang untuknya mengekali keyakinan (terhadap produk muslim) itu.


Sekarang aku memahaminya dari sudut mendalam tentang kewajipan memperjuangkan ekonomi, penghasilan barangan kegunaan seharian dan sumber pemakanan yang benar-benar yang menepati prinsip halalan toyyiba (halal lagi baik).

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik (halalan toyyiba) dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan;

Kerana Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu" (Surah al-Baqarah, 2:168). Bagi menghuraikan maksud halalan toyyiba dalam ayat di atas, Jalaluddin Muhammad dalam Kitab Tafsir al-Jalalain, menyebut bahawa perkataan toyyiba (baik) itu adalah sifat kepada halal itu sendiri. Maka dapatlah di fahami bahawa setiap makanan yang halal itu mestilah juga baik daripada pelbagai segi samada bahan campurannya, bersih dalam proses penyediaan dan dapat memberi manfaat kepada tubuh badan manusia.

Selain itu, pensyariatan pemilihan makanan yang halal juga adalah jelas di nyatakan oleh Allah SWT. Terdapat banyak dalil yang menyebut berkaitan dengan hal ini, antaranya ialah:
"Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah" (Surah al-Baqarah, 2:172).

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.

Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya" (Surah al-Maidah, 5:87-88).





Makanan Halal Lagi Baik


Mungkin seseorang boleh mengatakan bahawa mee ini mendapat pensijilan halal, namun sanggupkah seseorang itu menatap asalnya mee tersebut dari tempat dan dibuat oleh seseorang yang sama sekali tidak menepati syarak dari sudut aqidah dan kebersihannya! Maka, keraguan sewajarnya timbul bagi seseorang yang ingin menjaga agamanya. Seperti disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam suatu hadith :


"Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad.Ketahuilah ia adalah hati." (Hadith riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim).




Realiti Masa Kini


Aku baru selesai pulang daripada mengunjungi KOHALAL. Sedih. Tiada lagi kelibat Tuan Haji Yunus, Akh Azhar, dan Akh Amal. Semuanya muka-muka baru. Aku difahamkan KOHALAL kini sudah tidak lagi dipunyai oleh Tuan Haji Yunus. 2 tahun lalu dia melibatkan diri dalam perusahaan baja fosfat. Namun, qada dan qadar Allah menentukan yang terbaik. Beliau diisytiharkan muflis dan beliau menjual syarikat KOHALAL ini kepada seorang sahabat karibnya, Cikgu Fadzil, seorang bekas guru di Kuala Kangsar, Perak. Maka, pengkorporatan semula lembaga pengarah syarikat tetap mengekalkan nama KOHALAL namun dengan penambahan perkataan 'Takqwa' di hadapan. Jadilah kini 'KOHALAL Taqwa'.


Tuan Haji Yunus yang dahulu kuanggap sebagai mentor kin kembal ke kampung halaman di Bota Kanan, Perak. Mungkin ingin membina kekuatan kembali di sana. Akh Azhar, baharu sahaja melepaskan jawatannya di sini setelah agak lama berkhidmat di sini. Beliau sebagai orang kanan Tuan Haji kembali bertugas di tempat lamanya di Chemor. Khabarnya dalam perusahaan membuat siling. Manakala, Akh Amal yang selalu mengusikku tatkala kekerapan kedatanganku ke kedainya itu menyambung pelajaran entah kemana. SMS yang kuhantar tidak berbalas. Beliau merupakan seorang yang amat berjasa kepadaku kerana memperkenalkan sebuah lagi syarikat muslim yang memnggunakan sistem MLM sebagai modus operandinya, HPA kepadaku tatkala aku sedang mencari syarikat yang mampu 'menyatu padukan' dan memayungi seluruh perniagaan muslim di bawahnya. HPA (Herba Penawar Al-Wahida) dan IMP (Islamic Manifacturing Practice)- kedua-dua syarikat ini kukenal semenjak 'hubungan akrab'ku dengan KOHALAL bermula. Keakrabanku dengan warga KOHALAL sehingga memampukan aku untuk berceirta serba sedikit tentang tribulasi yang terpaksa ditempuhi oleh pendokongnya bagi memastikan perniagaan produk muslim ini terjaga.  





Penutup



Alhamdulillah, sehingga sekarang aku masih aktif dalam legasi mempromosikan produk-produk muslim (tidak terhad kepada produk HPA seperti yang diungkapkan sesetengah pihak). Namun, usahaku semakin berkurangan semenjak 2 tahun dahulu setelah aku 'melepaskan tanggungan' HPA dan Produk Tok Guru. Kini aku cuba mengembalikan semula semangatku dalam memperjuangkan produk muslim ini sebagai suatu kaedah menzahirkan keimanan aku. Aku cuba dengan penubuhan Facebookgroups Buletin Halalan Toyyiban  (https://www.facebook.com/groups/produkhalal/) dan 'kemasukan semula'ku ke dalam Komuniti HPA Ipoh. Sekarang aku juga terlibat juga dalam sebuah syarikat takaful iaitu Takafulink Hajj. I'Allah tidak lama lagi aku akan mengambil peperiksaan sebagai ejen syarikat takaful ini. Doakanlah.





No comments:

Post a Comment

Montaj Dinar Emas Kelantan

Borang Perhubungan

Sila isi borang inI untuk sebarang perkhidmatan pihak First Generation Outlet Sdn. Bhd.

Your Name
Your Email Address
Subject
Message
Image Verification
captcha
Please enter the text from the image:
[ Refresh Image ] [ What's This? ]

Powered byEMF PHP Form